Sekarang kan tengah kecoh pasal undang2 merotan anak.
Dan ramai la yang start to share kisah zaman kanak2 masing2
Ada yang mempertahankan 'tradisi' merotan dan ada juga yang memperjuangkan undang2 atas alas an perikemanusian.
Tak kisah la apa juga alasan kita dalam mempertahankan pendapat masing2, takde pihak yang 100% betul atau 100% salah
merotan dengan belasah adalah dua perkara berbeza tapi ramai yang tak perasan
merotan adalah hukuman sebagai pengajaran
belasah adalah hukuman sebagai lepas geram
aku sangat tidak setuju kalau parents dihukum kerana situasi pertama tapi aku teramat lah setuju kalau ibu bapa dipenjara kerana situasi yang kedua.
aku bukan follower tegar Dr Maza. Aku dapat article ni melalui perkongsian email from MIZAN and aku amat setuju dengan perkongsian Dr Maza.
Kalau korang nak baca direct from website Dr Maza silakan,
tapi aku copy artikel dia kat sini sebagai rujukan aku sendiri in future =)
---------------------------------------------------------------------------------------
ISLAM DAN MEROTAN ANAK
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini;
1. Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa: “Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.
Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.
2. Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.
3. Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w: “Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serious.
4. Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.
5. Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan factor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina. Inilah tiga factor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.
6. Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serious, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.